Perlembagaan BKASS

DRAF PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG BAGIBADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR SYRIA (BKASS)

Fasal 1 – NAMA   

(1) Badan ini dikenali dengan nama Badan Kebajikan Anak Selangor Syria.  

(2) Singkatan nama Badan ialah ' BKASS '.

Fasal 2 - TEMPAT URUSAN  

(1) Alamat dan tempat urusan Badan ialah Malaysian Students Association In Syria, P.O.Box 12879 Damascus, Syrian Arab Republic atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh jawatankuasa Badan, dan alamat untuk surat menyurat ialah P.O.Box 12879 Damascus, Syrian Arab Republic. 

(2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Badan tidak boleh diubah tanpa kebenaran mesyuarat agung ahli-ahli terlebih dahulu.

 

Fasal 3 - LOGO DAN PENAFSIRAN

Logo BKASSLogo BKASS


Bulatan yang bertulis Badan Kebajikan Anak Selangor Syria :Melambangkan kesatuan dalam Badan Kebajikan Anak Selangor Syria. 

Riben yang bertulis berwawasan, beristiqamah, bertawakkal :Ikatan asas perinsip Badan Kebajikan Anak Selangor Syria. 

Kubah :Islam sebagai agama rasmi Badan Kebajikan Anak Selangor Syria. 

Bulan dan bintang :Bulan melambangkan keharmonian dalam Badan dan bintang melambangkan Rukun Islam. 

Rehal :Membudayakan ilmu dalam Badan. 

Merah, putih dan hitam pada kubah :Negara Syria sebagai tempat menuntut ilmu. 

Merah dan kuning :Negeri Selangor sebagai tempat kelahiran.  

 

Fasal 4 – COGANKATA

Cogankata Badan ialah :' BERWAWASAN-BERISTIQAMAH-BERTAWAKKAL '

 

Fasal 5 – DASAR

Dasar Badan ialah:

(1) Islam sebagai dasar Badan yang berteraskan akidah ahlu sunnah wal jamaah sahaja dan ia merupakan panduan untuk sebarang aktiviti dan gerak kerja pentadbiran Badan, sebarang tindakan yang dibuat atau diambil oleh Badan hendaklah tidak terpesong daripada dasar ini. 

(2) Badan adalah sebuah orginasasi kebajikan dan pergerakan pelajar yang bersikap sederhana, terbuka, bebas, tidak terpengaruh dan sentiasa bersifat neutral dengan mana-mana pandangan, ideologi dan propaganda gerakan, pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebarang pertubuhan lain.

 

 Fasal 6 – MATLAMAT

 Matlamat Badan ialah:

 (1) Menyatukan pelajar Selangor dan Wilayah Persekutuan yang berada di Syria di bawah naungan Badan.

 (2) Membantu melahirkan pelajar yang serba boleh dalam semua aspek menurut keperluan semasa.

(3) Menjaga kebajikan ahli dari semua aspek yang difikirkan perlu dan munasabah.

 

 Fasal 7 - PENDAFTARAN KEAHLIAN  

(1) Ahli Badan mestilah yang berdaftar sebagai ahli tetap Persatuan Pelajar Malaysia Syria . 

(2) Ahli Badan terdiri daripada ahli tetap dan ahli bersekutu.

 (2.1) Ahli tetap ialah mereka yang tidak menjadi ahli tetap mana-mana Badan negeri lain yang bernaung di bawah Persatuan Pelajar Malaysia Syria dan memenuhi salah satu syarat di bawah: 

(a) Lahir dan menetap di Selangor.

 (b) Bukan kelahiran Selangor tetapi menetap di Selangor. 

(c) Kelahiran Selangor tetapi tidak menetap di Selangor.

 (d) Lahir atau menetap di Wilayah Persekutuan. 

(e) Kedua ibu bapa lahir atau menetap di Selangor.

 (2.2) Ahli bersekutu ialah mereka yang memenuhi salah satu syarat di bawah: 

(a) Menjadi ahli tetap mana-mana Badan negeri lain yang bernaung di bawah Persatuan Pelajar Malaysia Syria tetapi memenuhi mana-mana syarat ahli tetap di atas.  

(b) Mempunyai ikatan perkahwinan yang sah dengan ahli tetap Badan.

 (3) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat melalui borang yang disediakan oleh Badan dan diserahkan kepada setiausaha Badan. Penerimaan dan penolakan sebarang permohonan keahlian adalah mengikut budi bicara jawatankasa Badan berdasarkan perlembagaan dan dimaklumkan secara bertulis. 

(4) Tiap-tiap permohonan keahlian hendaklah disertakan dengan yuran pendaftaran dan yuran tahunan pertama seperti yang telah ditetapkan.

 

 Fasal 8 - TANGGUNGJAWAB AHLI 

Tiap-tiap ahli mempunyai tanggungjawab seperti berikut:

 a) Menghormati dan mematuhi perlembagaan Badan dan segala etika disiplin yang dikeluarkan.

 b) Sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran Badan. 

c) Sentiasa menjaga hubungan baik Badan dengan semua pihak. 

d) Sentiasa mewujudkan suasana harmoni dan menjaga nama baik Badan.e) Membayar yuran tahunan dan bayaran-bayaran lain yang ditetapkan oleh Badan.  

 

Fasal 9 - HAK-HAK AHLI

 (1) Ahli tetap : 

(a) Berhak menghadiri dan bersuara di dalam mesyuarat agung. 

(b) Berhak memberi sebarang cadangan kepada Badan. 

(c) Berhak dicalonkan dan mengundi dalam pemilihan Badan. 

(d) Berhak memperolehi sebarang bantuan dan perkhidmatan yang disediakan Badan. 

(e) Berhak mengikuti dan mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan yang dianjurkan oleh Badan.

 (f) Berhak untuk dilantik bagi menganggotai sebarang jawatankuasa pelaksana bagi program Badan.  

(2) Ahli bersekutu : 

(a) Berhak menghadiri sebarang program yang dianjurkan oleh Badan.

 (b) Berhak bersuara dalam mana-mana mesyuarat Badan. 

(c) Tidak berhak untuk dicalonkan, tatapi berhak mengundi dalam pemilihan Badan.

 (d) Kehadiran dan undiannya dalam sebarang mesyuarat adalah dikira.

 (e) Tidak berhak memperolehi sebarang keistimewaan dan pekhidmatan yang disediakan oleh Badan melainkan dengan budi bicara ahli jawatankuasa Badan. 

(f) Berhak untuk dilantik sebagai jawatankuasa pelaksana bagi program Badan.  

(3) Seseorang ahli itu tidak berhak untuk: 

(g) Mengundi di dalam mesyuarat agung jika tidak menjelaskan yuran tahunan.

 (h) Mewakilkan hak mengundinya kepada sesiapa.

 (i) Mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi pihak Badan tanpa kebenaran jawatankuasa Badan.

 (j)  Menggunakan sebarang perkhidmatan yang disediakan dan menerima sebarang keistimewaan dan pertolongan daripada Badan jika tidak menjelaskan yuran tahunan.

 

  Fasal 10 - YURAN PENDAFTARAN,

YURAN TAHUNAN DAN BAYARAN LAIN

 (1) Yuran pendaftaran dan yuran tahunan yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut : 

(1.1) Ahli tetap :Yuran pendaftaran 50 LS (Lima Puluh Lira Syria)Yuran tahunan 100 LS (Seratus Lira Syria) 

(1.2) Ahli bersekutu :Yuran pendaftaran 50 LS (Lima Puluh Lira Syria)Yuran tahunan 200 LS (Dua Ratus Lira Syria) 

(2) Yuran tahunan untuk tahun yang berikutnya hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Badan dalam tempoh 7 hari setelah selesai mesyuarat agung tahunan.

 (3) Sebarang keistimewaan sebagai ahli akan gugur sehinggalah yuran tahunan dijelaskan.

 

Fasal 11 - PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

 (1) Mana-mana ahli yang gugur keahlian di dalam Persatuan Pelajar Malaysia Syria akan terlucut keahliannya daripada menjadi ahli Badan.

 (2) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Badan hendaklah memberi kenyatan bertulis 2 minggu terlebih dahulu kepada setiausaha Badan. 

(3) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Badan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Badan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah olah jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu di atas rayuan ahli tersebut.

 

Fasal 12 - MESYUARAT AGUNG

 (1) Pengelolaan Badan ini terserah kepada mesyuarat agung. 

(2) Mesyuarat agung Badan meliputi Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas.

 (3) Mesyuarat agung tahunan hendaklah diadakan setiap tahun dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 30hb November pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh jawatankuasa Badan. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:

 (a) Menerima laporan jawatankuasa Badan berkenaan perjalanan Badan sepanjang penggal lalu. 

(b) Menerima laporan bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun kewangan yang lalu.

 (c) Memilih jawatankuasa Badan, dua orang pemeriksa kira-kira, pengerusi tetap dan Timbalan pengerusi tetap untuk penggal akan datang.

(d) Membincangkan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4) Korum untuk mesyuarat agung tahunan ialah satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli tetap yang berada di Syria dengan kehadiran dua pertiga (2/3) daripada jumlah jawatankuasa.

(5) Jika korum tidak mencukupi selepas satu jam dari waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu boleh dijalankan dengan satu pertiga (1/3) daripada jumlah ahli tetap yang berada di Syria. Jika jumlah korum satu pertiga (1/3) tersebut juga tidak dapat dicapai, maka mesyuarat hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh jawatankuasa Badan dan jika korum satu pertiga (1/3) tidak cukup selepas satu jam dari waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka ahli-ahli tetap yang hadir berhak menjalankan mesyuarat, tetapi tidaklah berhak meminda perlembagaan Badan.

(6) Mesyuarat agung khas bagi Badan ini boleh diadakan :

(a) Bila difikirkan mustahak oleh jawatankuasa, atau

(b) Atas permintaan bertulis oleh tidak kurang dari satu pertiga (1/3) dari jumlah ahli tetap dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada setiausaha Badan.

(7) Mesyuarat agung khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 2 minggu dari tarikh peneriman permintaan mesyuarat itu.

(8) Fasal 12(4) dan 12(5) di dalam perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan mesyuarat agung tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat agung khas, tetapi dengan syarat jika ianya ditangguhkan dan korum tidak mencukupi selepas satu jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat agung khas atas permintan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 3 bulan dari tarikh tersebut mesyuarat agung khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9) Setiausaha Badan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas yang akan diadakan berserta agenda mesyuarat.

(10) Sebarang keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat agung adalah muktamad.

 

Fasal 13 - SUSUNAN PENTADBIRAN BADAN

Susunan herarki pentadbiran Badan dan pembahagian kuasa adalah seperti berikut :

(1) PENASIHAT: Menasihati Badan dalam segala hal yang berkaitan dengan Badan mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh perlembagaan Badan.

(2) JAWATANKUASA: Jawatankuasa yang mempunyai kuasa eksekutif untuk menguruskan Badan mengikut kehendak perlembagaan Badan.

 

Fasal 14 – PENASIHAT

(1) Penasihat Badan dilantik oleh Jawatankuasa Badan.

(2) Had bilangan anggota dalam penasihat mengikut yang difikirkan perlu pada tiap-tiap tahun.

(3) Penasihat Badan dimestikan hadir di dalam sebarang mesyuarat jawatankuasa Badan dan ia berhak bersuara dan memberikan cadangannya di dalam mesyuarat tersebut.

(4) Penasihat Badan mestilah dari kalangan ahli tetap Badan.

 

Fasal 15 – JAWATANKUASA

(1) Badan ini diuruskan sepenuhnya oleh sebuah Jawatankuasa seperti berikut :

(a) Seorang Yang Dipertua.

(b) Dua orang Timbalan Yang Dipertua: Timbalan Yang Dipertua 1 : seorang lelaki Timbalan Yang Dipertua 2 : seorang perempuan.

(c) Seorang Setiausaha

(d) Seorang Timbalan Setiausaha

(e) Seorang Bendahari

(f) Enam orang Jawatankuasa: 3 lelaki dan 3 perempuan

(2) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja Badan serta membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Badan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil keputusan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung .Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan kegiatan sepanjang sesi ketika Mesyuarat Agung Tahunan.

(3) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli Jawatankuasa 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua berserta tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bolehlah dipanggil supaya diadakan mesyuarat jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(4) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan jawatankuasa dan mesyuarat jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut, hendaklah disempurnakan sebelum keputusan jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima :

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa.

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu.

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh setiausaha kepada mesyuarat ahli jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

(5) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa.

(6) Jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka ahli jawatankuasa berhak melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehinggalah mesyuarat agung tahunan diadakan. Namun jika kekosongan itu bagi jawatan Yang Dipertua, maka kekosongan itu hendaklah dipangku oleh Timbalan Yang Dipertua (1) mengikut fasal 17 (1) dan jika berlaku juga kekosongan bagi jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua maka kekosongan itu tertakluk kepada mesyuarat jawatankuasa.

(7) Jawatankuasa boleh menubuhkan sebarang jawatankuasa dalam Badan yang difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada mana-mana ahli jawatankuasa.

 

Fasal 16 - KEWAJIPAN-KEWAJIPAN AHLI JAWATANKUASA

(1) Yang Di Pertua, dalam tempoh menyandang jawatannya:

(a) Hendaklah ia menjadi pengerusi semua mesyuarat jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanannya.

(b) Ia mempunyai kuasa penuh memberikan arahan kepada mana-mana ahli jawatankuasa dan sebarang jawatankuasa dilantik dalam menjalankan kerja-kerja pentadbiran Badan dan ia berhak menghadiri sebarang mesyuarat jawatankuasa Badan.

(c) Yang Dipertua pada ketika perlu hendaklah mengeluarkan kenyataan yang rasmi bagi pihak Badan.

(d) Hendaklah ia bertanggungjawab atas semua jawatankuasa dan Badan.

(2) Timbalan Yang Dipertua (1) hendaklah menolong Yang Dipertua menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatannya semasa ketiadaannya.

(3) Timbalan Yang Dipertua (2) :

(a) Bertanggungjawab memimpin dan menguruskan hal ehwal siswi.

(b) Bekerjasama dengan Yang Dipertua didalam melaksanakan tugas terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan siswi.

(4) Setiausaha:

(a) Hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran Badan mengikut perlembagaan Badan dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan jawatankuasa.

(b) Memanggil mesyuarat jawatankuasa atas arahan Yang Dipertua atau dengan permintaan bersurat sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada jawatankuasa.

(c) Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat, kertas dan rekod pentadbiran kecuali akaun dan buku-buku kewangan.

(d) Ia bertanggungjawab menguruskan perjalanan pejabat Badan.

(e) Hendaklah menyimpan dan sentiasa mengemaskini rekod daftar semua ahli.

(f) Ia hendaklah membuat catatan minit mesyuarat jawatankuasa .

(g) Hendaklah menyelaraskan semua perancangan tahunan Badan dan hendaklah ia menyiapkan laporan tahunan perjalanan Badan untuk dibentangkan didalam mesyuarat agung tahunan.

(h) Hendaklah menyiapkan dan membentang minit mesyuarat agung tahunan yang lalu.

(i) Ia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Agung Khas dan sebarang mesyuarat atau perjumpaan yang melibatkan keseluruhan ahli.

(j) Ia boleh mengeluarkan kenyataan yang rasmi bagi pihak Badan jika diarahkan berbuat demikian olehYang Dipertua.

(5) Timbalan Setiausaha hendaklah membantu setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan setiausaha.

(6) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Badan selain beberapa tugasan lain:

(a) Membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan Badan dan bertangungjawab di atas ketepatannya.

(b) Mengutip dan menyelaraskan pungutan yuran ahli.

(c) Membentangkan laporan dan penyata kewangan yang telah diaudit oleh pemeriksa kira-kira bagi tahun kewangan yang lalu di dalam mesyuarat agung tahunan.

(7) Ahli jawatankuasa hendaklah saling membantu dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

 

Fasal 17 - CARA MEMUTUSKAN UNDI DAN RESOLUSI

(1) Sebarang keputusan atau resolusi yang hendak dicapai dengan cara mengundi di dalam semua mesyuarat Badan dan jawatankuasa hendaklah ianya telah mendapat undian majoriti oleh ahli-ahli mesyuarat yang hadir.

 

Fasal 18 – KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan–peruntukan berikut dalam perlembagaan ini wang Badan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Badan, termasuklah belanja pentadbiran dan perbelanjaan untuk sebarang kegiatan atau aktiviti yang telah diluluskan oleh mesyuarat jawatankuasa atau mesyuarat agung.

(2) Bendahari dengan persetujuan Yang Dipertua dibenarkan membayar wang runcit tidak lebih daripada 2000 LS (Dua Ribu Lira Syria) sahaja pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu jika hendak dikeluarkan, ianya mestilah dikeluarkan mengikut Fasal 18 (3) perlembagaan ini.

(3) Perbelanjaan yang lebih daripada 2000 LS (Dua Ribu Lira Syria) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh jawatankuasa, manakala perbelanjaan yang lebih daripada 15,000 LS (Lima Belas Ribu Lira Syria) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu.

(4) Penyata wang penerimaan dan perbelanjaan serta kunci kira-kira setahun hendaklah disediakan oleh bendahari dan diperiksa oleh pemeriksa kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 19 perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata Kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan yang berikut.

(5) Tahun kewangan Badan ini bermula dari 1hb November dan berakhir 31hb Oktober tiap-tiap tahun.

 

Fasal 19 - PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua orang yang bukannya ahli jawatankuasa boleh dipilih di dalam mesyuarat agung tahunan sebagai pemeriksa kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Badan bagi tempoh kewangan dan membuat laporan atau pengesahan untuk mesyuarat agung tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira Badan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada jawatankuasa.

 

Fasal 20 - UNDANG-UNDANG PEMILIHAN

(1) Pemilihan jawatan-jawatan dalam jawatankuasa ini diuruskan sepenuhnya oleh satu jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Pemilihan yang menjalankan tugas-tugas tersebut dalam tempoh bermula hingga tamatnya mesyuarat agung tahunan.

(2) Jawatankuasa hendaklah melantik dua orang Jawatankuasa Pemilihan selain ahli tetap Badan sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh yang ditetapkan untuk diadakan Mesyuarat Agung Tahunan.

(3) Pengundian untuk memilih jawatankuasa hendaklah dilakukan secara sulit dan pengundian untuk memilih dua orang pemeriksa kira-kira, pengerusi tetap dan timbalannya hendaklah dilakukan secara terbuka di dalam mesyuarat agung tahunan.

(4) Ahli-ahli yang telah dicalonkan berhak untuk bertanding lebih daripada satu jawatan tetapi keputusan kemenangan hanya diambil kira untuk jawatan tertinggi yang dimenanginya sahaja.

(5) Calon boleh menarik diri daripada bertanding apabila dipersetujui oleh sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada ahli tetap yang hadir.

(6) Jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa yang dipertandingkan ialah:(a) Yang Dipertua(b) Sebelas Ahli Jawatankuasa

 

Fasal 21 - TAFSIRAN PERLEMBAGAAN

(1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan jika mustahak boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak termaktub di dalam perlembagaan kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung. Keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.

 

Fasal 22 - PINDAAN PERLEMBAGAAN

(1) Perlembagaan ini atau sebarang bahagian daripadanya tidak boleh diubah, dipinda atau dimansuhkan kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Sebarang usul pindaan terhadap perlembagaan ini hendaklah dikemukakan kepada setiausaha sekurang-kurangnya 7 hari sebelum mesyuarat agung diadakan.

(2) Sebarang pindaan atau tambahan dalam perlembagaan yang telah diluluskan dalam mesyuarat agung berkuatkuasa serta merta.

 

Fasal 23- PEMBUBARAN

(1) Badan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada dua pertiga (2/3) daripada jumlah ahli tetap yang menghadiri mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Badan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Badan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada ahli-ahli Badan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran.

 

JAWATANKUASA PENGGUBALPERLEMBAGAAN BKASS

PENGERUSI :MOHD SHARAF B.HJ BAJURI

SETIAUSAHA :MUHAMAD BASIL B. ISHARUDIN

AHLI-AHLI :

MUSTHAZANI BIN SABERI 
MUHAMAD AZAM BIN ALI ANNUAL 
MOHD NAKHAIE BIN MOHD NAFIAH 
ABDUL MUHAIMIN BIN MALEK
MUJAHIDAH MUNTASIRAH BINTI ABDUL HALIM

 

Laporan disediakan oleh :

(MOHAMMAD TURMIZI BIN HUMAIDI)

Setiausaha,

Badan Kebajikan Anak Selangor Syria ( BKASS ) Sesi 2008/09.