Hidup dibentuk oleh pemikiran kita
Oleh : Latifah Musa
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Turmizi di dalam sunannya, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، والصبر عند الصدمة الأولى ، وإن الله إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط
Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w mengatakan kepada kita tentang hakikat sesuatu ujian yang berlaku terhadap seorang hamba dan bagaimana ganjaran yang diberikan akibat ujian yang menimpa adalah sesuai dengan penerimaan seorang hamba terhadap ujian tersebut. Apabila Allah s.w.t cintakan sesuatu kaum, maka Dia akan menguji kaum tersebut. Sekiranya mereka redho dengan ujian tersebut, maka bagi mereka keredhoan dari Allah. Barangsiapa yang benci dan marah dengan ujian tersebut, maka ke atasnya kemurkaan dan laknat.
Daripada hadis ini kita dapat fahami bahawa kehidupan sebenarnya dibentuk oleh pemikiran dan sikap kita ketika berhadapan dengan sesuatu situasi. Bagaimana kita berfikir, begitulah natijahnya. Bagaimana kita bertindak, begitulah ganjarannya. Tanpa kita menyedari kehidupan kita samada gembira, sengsara, tenang, semuanya datang dari diri dan sikap kita sendiri. Begitulah pemikiran, bagaimana akhirnya ia akan mencorak warna kehidupan samada kehidupan yang cemerlang atau sebaliknya.
Oleh itu, kita sebagai pelajar haruslah menilai sejauh mana cara kita berfikir dan berhadapan dengan sesuatu situasi. Adakah kita dikalangan mereka yang menjadikan setiap sesuatu yang berlaku itu sebagai satu lonjakan paradigma pada diri sendiri atau kita dikalangan mereka yang sering berputus asa dan lemah setelah berhadapan dengan sesuatu cabaran atau kegagalan? Bagi menjawab persoalan ini, hanya diri kita sendiri dapat merenung dan menilainya.
Sebagai contoh, dua orang pelajar A dan B mendapat keputusan yang sangat merosot di dalam imtihan. Pelajar A ini pulang ke rumah dengan perasaan yang sangat sedih sehingga kesedihan yang teramat sangat menjadikan dia lupa matlamat asalnya. Akhirnya dia merasakan bahawa diri tidak akan berjaya buat selamanya. ‘mind set’nya yang sebegini pastinya menjadikan dia berada ditakuk yang sama dan tiada tindak balas untuk meningkatkan prestasi diri. Berbeza dengan pelajar B, ketika berhadapan dengan kegagalan tadi, walaupun dirundum kesedihan tapi dalam masa yang sama otaknya ligat berfikir mencari dimanakah silapnya sehingga dia boleh gagal. Akhirnya dia berfikir bagaimana untuk mengatasi agar perkara yang sama tidak akan berulang kembali.
Kesinambungan dari itu, hidupnya lebih bersemangat dan dia akan meletakkan matlamat bahawa "perkara yang sama tidak harus berulang". Tindak balas akhirnya terhasil dan dia menjadi lebih bersungguh-sungguh dan menjadikan perkara yang berlaku sebagai satu lonjakan untuk berjaya.
Seseorang yang lahir padanya kepercayaan pada diri sendiri tidak akan kecewa menghadapi kehidupan walaupun menyedari akan ketidaksempurnaan dirinya. Malah dia akan menjadikan kelemahan diri tadi sebagai satu dorongan untuk membangkitkan semangat dan harga diri.
Firman Allah Taala dalam surah al-Najm ayat 39:
وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى
"Dan sesungguhnya manusia tidak akan memperoleh melainkan apa yang telah diusahakannya"
Sedarlah, pemikiran banyak mempengaruhi peribadi kita kerana arahan pemikiran adalah faktor yang menentukan perjalanan hidup kita.
Sesungguhnya kita sebagai pelajar sering diuji dengan pelbagai situasi. Jadi berfikirlah secara positif agar terhasil suatu tindak balas yang positif dan akhirnya mencorakkan kehidupan kita yang sentiasa cemerlang.
Dalam sains ada menyebut Hukum Newton kedua: “With every action there is a reaction”
Untuk lebih mudah memahaminya sebagai contoh “you must be a friend to have a friend” “Smile at people to make them smile back at you” “Be good to others and others will be good to you”
Jadi samalah seperti diri kita, apabila kita berfikir secara positif maka terhasillah satu tindakan positif dari diri kita. Apabila lahir satu benda yang positif dari diri kita maka kita akan mendapat natijah yang juga positif. Itulah kebiasaan yang sering berlaku. Maka lahirlah satu kehidupan yang harmoni dan gembira.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Raad Ayat 11 :
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
"…Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya, dan sesekali tiada pelindung bagi mereka selain Dia"
Sebagai pelajar, kita janganlah menjadikan sesuatu menguasai diri hingga hilang pertimbangan akal. Bak kata pepatah “berfikirlah sebelum bertindak”. Ketidakbijaksanaan dalam tindakan lantaran pemikiran yang negatif akan mengundang kerugian dan akhirnya menjadikan kehidupan diselimuti kebencian dan kedukaan.
Firman Allah Taala dalam surah Muhammad ayat 31:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
“Dan sesungguhnya kami benar-benar akan mengujimu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar kami nyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu”.
Oleh itu, sentiasalah memotivasikan diri agar sentiasa berfikiran positif agar kehidupan yang kita lalui di bumi Syam yang penuh keberkatan ini sentiasa ceria dan cemerlang. Ingatlah setiap yang berlaku adalah ujian kita sebagai hambanya. Manusia memang sering diuji dalam kehidupan tapi ujian itulah yang meningkatkan keimanan kita kepada Allah Taala. Fikirlah akan kebahagiaan, nescaya kita akan bahagia, fikirlah akan ketenangan, nescaya kita akan tenang. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama hambanya….W’alam..
- Kiriman:
