Berorganisasi di dalam solat

Oleh : Aki Syafiqah

Para pejuang  yang bersiap sedia di medan peperangan  akan mengikut perintah ketuanya agar berada di dalam keadaan yang tersusun rapi bagaikan tersusunnya saf ketika sedang melakukan solat berjemaah.  Semasa ahli  jemaah  berdiri dan menghadapkan diri ke arah kiblat di samping merapatkan saf untuk solat, ianya sudah pasti memberi pengajaran dan pengertian yang tinggi bagi mereka yang ingin mengambil iktibar. Ianya menunjukan kepada kepentingan perpaduan, kerjasama, dan disiplin di dalam sesebuah organisasi atau pasukan. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Saf yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam keadaan mereka tersusun seumpama sebuah bangunan yang kukuh.”[Surah As-Saf : 4]

Di ayat ini Allah telah menyamakan perjuangan secara berpasukan dalam keadaan teratur dan tersusun umpama bangunan yang kukuh yang menjadi symbol kepada kemenangan.

Sebaliknya, bagi mereka yang ingin berjuang di jalan Allah s.w.t tetapi tidak mempunyai disiplin, tidak berteratur, malah saling berpecah jiwa mereka, sudah pasti mereka akan dibenci oleh Allah. Walaupun hakikat perjuangan di jalanNya adalah sesuatu yang mulia, tetapi kemuliaan ini perlulah disertai dengan kebijaksanaan dalam bekerja bagi memastikan matlamat yang digariskan akan tercapai.

Ketahuilah bahawa “kebenaran yang tidak bersistematik akan dikalahkan dengan kebatilan yang bersistematik.”

Sebagai pemulaan kita latihkan diri dengan solat berjemaah. Solat secara berjemaah mengingatkan kita tentang konsep persamaan dalam islam. Ketika melaksanakan solat berjemaah, tiada perbezaan di antara raja, menteri, orang kenamaan ataupun orang biasa. Kesemuanya berada di dalam sof yang sama dan menghadap pada kiblat yang sama. Tuhan yang disembah adalah tuhan yang satu. Tuhan yang maha Agung. Tuhan yang maha Besar. Kebesaran dan ketinggian yang dicapai oleh manusia, menjadi hancur dan lebur ketika berhadapan dengan keagungan Allah. Perasaan ego, bangga diri, bangga status dan keturunan akan terhapus jika solat yang didirikan di iringi dengan tawadu’ dan ikhlas.

Ketika Imam yang mengetuai solat, melakukan kesilapan, maka dianya boleh ditegur. Ini  memberi isyarat kepada kita tentang sikap saling bantu-membantu yang perlu dipupuk demi mencapai kejayaan. Apatah lagi tatkala imam melakukan kesalahan yang melibatkan rukun solat yang boleh menyebabkan batalnya sesuatu solat, maka menjadi kewajipan makmum untuk menegur imam. Sekiranya Imam terus berdegil dengan kesalahan, maka bagi makmum, mereka diarahkan untuk mufaraqah  bagi mengelakkan ibadatnya menjadi rosak. Begitu jugalah keadaan ketua di dalam sesebuah oraganisasi, tatkala beliau melakukan kesalahan yang bercanggahan denga syarak, maka menjadi kewajipan kepada pengikutnya untuk memberi teguran dan membetul kesalahannya. Ini bagi mengelakkan kehancuran organisasi yang dianggotai secara bersama. Sabda Rasulullah s.w.t: "tidak ada ketaatan kepada seorang makhluk (ketua) yang memerintahkan kepada maksiat".

 

 “Setiap muslim dituntut mendengar dan mentaati pemimpin dalam perkara yang mereka suka ataupun benci melainkan jika disuruh melakukan maksiat, dan ketika itu tidak ada lagi tuntutan untuk dengar dan taat.”

Dalam waqi’ mahasiswa-mahasiswi di perantau persatuan  adalah keluarga terdekat. Persatuan menjaga maslahah mereka dari segala sudut seperti tarbiah, akademik, kebajikan dan seumpamanya. Tugas persatuan adalah melaksanakan dan menjamin perpaduan di atas teras iman dan islam.

Di dalam berpersatuan, terdapat adab-adab yang perlu dijaga demi kejayaan persatuan yang diterajui. Di antara adab-adab tersebut ialah: memperbanyakkan memberi salam, demi mengukuhkan ukhuwah sesama anggota. Ukhuwah yang erat terbina sudah pasti membantu perjalanan sesebuah persatuan. Selain itu, anggota di dalam sebuah persatuan juga perlulah menjauhi sangkaan buruk sesama ahli dan ketua. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

”Dan jauhilah dari kebanyakan prasangka sesungguhnya sebahagian prasangka adalah dosa.” {Surah Al-Hujurat: 12}

Ketaatan yang jitu perlu diberikan terhadap ketua yang telah diberi amanat untuk memimpin. Kepincangan di dalam organisasi akan berlaku sekiranya tidak ada ketaatan kepada pemimpin. Allah s.w.t telah berfirman:

"Taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kepada Rasulnya dan juga pemimpin di kalangan kamu".

Seterusnya, adab yang perlu dijaga khususnya dalam mengawal perpaduan sesebuah organisasi adalah: memastikan kebenaran sesuatu khabar yang sampai kepada seseorang. Seseorang itu tidak boleh terus percaya khabar berita yang negatif yang boleh menggugat perpaduan yang sedang dibina. Firman Allah s.w.t: ”Wahai mereka yang beriman jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, periksalah dengan lebih teliti dahulu.” {Suran Al-Hujurat: 6}.

Persaudaraan di antara kaum Ansar dan Muhajirin merupakan contoh terbaik bagi penggerak dan pendukung perjuangan. Perpaduan di kalangan mereka telah menatijahkan kekuatan untuk Islam sehingga terbinanya Negara Madinah yang merupakan contoh kepada pembinaan negara rabbani.

Berbeza dengan dunia Islam di hari ini yang telah diuji dengan serangan dari musuh-musuhnya. Musuh-musuh islam dengan rakusnya telah menyerang umat Islam seperti mana yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan Palestin. Apa yang paling menyedihkan kita adalah, apabila terapat di kalangan negara-negara sesama Islam sendiri telah bertindak songsang dengan menyokong serangan ini.

Semoga Allah menguatkan perpaduan kita  dan sudah pasti  perpaduan ini bermula dari komuniti yang kecil. Firman Allah s.w.t:

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama islam. Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-cerai (pecah-belah dari kebenaran).” {Surah Al-Imran: 102}.