Kembali kepadaNya
Oleh : Yusrizal Yushar
Alhamdulillah, terima kasih kerana masih memberi peluang untukku meniti hidup-hidup yang mendatang sehingga ke hari ini,” ucapku penuh syukur. Kutolak selimut yang membalut tubuh, bergegas ke kamar mandi, mengambil wuduk. Air sembahyang terasa segar di wajahku, dan uuups, aku sudah selesai berwuduk. Isteri dan anakku sudah menanti di tikar sembahyang.
Haiya Alassolah, azan dari masjid kedengaran jelas memecah keheningan subuh. Kusahut panggilan-Mu ya Allah, bisikku dalam hati. Aku tidak tahu kenapa dalam sujudku yang panjang untuk kali ini terlau syahdu terasa. Air mata mengalir deras, setitis demi setitis. Ya Allah, ampunilah dosa kami, dosa kedua orang tua kami, dan Ya Allah ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat. Sampai disini aku tersedu, sebak rasanya dada ini, ada sesuatu yang mengusik hatiku!
“Mama, kenapa ayah menangis?”, si bongsu memeluk leher ibunya, ibunya senyap tanpa mengeluarkan walaupun sepatah perkataan. “Aliff, mari dekat ayah sekejap sayang,” panggilku dengan nada penuh kasih sayang.
“Ayah tak menangis, ayahkan sedang berdoa,” jelasku panjang lebar. “Oohh, kalau orang berdoa kena menangis ke ayah?” lanjutnya lagi dengan rasa binggung. Aku cuma tersenyum sambil tangan anak manjaku ini kutarik, dan kudakap erat-erat.
“Aliff sayang mama dengan ayah tak?” tanyaku.
“Sayang.” Sahutnya cepat.
“Kalau jauh dan rasa rindu pada ayah dan mama, Aliff menangis tak?” tanyaku menguji.
“Menangis,” sahutnya dengan mata bulatnya terus menatapku. Kupeluk anakku lebih erat, mudah-mudahan dirimu tumbuh menjadi lelaki yang soleh. Bisikku perlahan. Aku tahu Aliff tidak mengerti kemana arah pertanyaanku, apalagi dengan usia yang masih belum mencapai tujuh tahun. Tapi biarlah, suatu hari nanti dia pasti mengerti maksudku.
Isteriku cuma menatapku lembut, aku membalas tatapannya. Memang sifat orang perempuan Allah jadikan mereka ini pemalu. Isteriku tertunduk, kelihatan pipinya dibasahi air mata, aku faham akan isi hatinya, perempuan memang cepat tersentuh. “Nur kedapur dulu ye bang,” isteriku meminta izin, di ekori oleh Aliff, tinggallah aku keseorangan di ruang tamu.
************
“Amin, betul ke engkau nak ke Syria?”, itulah pertanyaan rakan-rakanku. Maklumlah, pekerja kilang sepertiku memang sukar untuk mereka mempercayai tentang hasrat tinggiku ini. Apatahlagi kehidupanku yang agak susah, berniaga pun selalu harga tapak lebih mahal daripada untung, memang susah untuk mendapatkan keuntungan yang agak lumayan, kalau ada untung pun, sedikit sangat, cukuplah untuk dua hari makan.
Dunia jahiliah perlu aku tinggalkan, demi masa depanku, aku tidak selesa jikalau kehidupanku terus begini. “Kenapa, kau nak jauhkan diri dari kami,” pertanyaan bertubi-tubi datang, ah…, pedulikanlah, lagipun yang lelah, kan diriku sendiri. Tekadku sudah kuat, akan kutinggalkan tanah airku buat sementara.
“Bukan masaalah nak jauhkan diri, cuma aku letih dan jemu, aku sedar yang aku ini memerlukan ilmu tentang agama,” masih kuingat kata-kataku.
“Tapi pekerjaan kau pun kan dah nampak stabil, tak macam kau mula-mula kerja dulu, apakah tak rugi nanti?” sela rakanku yang lain. Aku hanya tersenyum, mahu apalagi?
“Kita tunggu dan lihat saja nanti, InsyaAllah tak rugi apa-apa,” jawapku yakin. Apalah ertinya wang kalau hati tidak pernah tenang. Selama beberapa tahun, banyak tanggungjawabku tidak aku tunaikan, aku terpaksa bekerja keras menyara hidupku untuk terus hidup. Dari pagi sampai petang aku di kilang, selesai di kilang, malam aku terus ke up town, pasar larut malam, sejam sebelum subuh aku pulang ke rumah, cuaca waktu subuh cukup membantu diriku yang letih melelapkan mata, begitulah hidupku setiap hari , dimanakah waktu solatku…?. Tiap awal minggu aku menghabiskan duit dan masa di disco. “Aku sibuk, mana ada waktu yang kosong untuk sembahyang,” begitulah jawapanku ketika Allahyarham adikku bertanya. Adikku memang kuat berpegang dengan agamanya, dialah harapan mak ayahku, tetapi sayang, ketika umurnya 15 tahun dia telah menghadap tuhan yang maha kuasa.
Allahuakbar Allahuakbar!. Azan Isyak berkumandang di serata Damascus, manusia berduyun-duyun menuju kemasjid yang berhampiran untuk melaksanakan kewajipan kepada Allah. Dirumah sewaku, kelihatan seorang sahabatku sedang bersiap-siap untuk ke masjid, dan seorang lagi masih di hadapan tv.
“Man, kau jadi imam terawih mana malam ni,” perli Azli
“Aku masih kenyang lagi ni li, nanti aku pergilah, kau ni tak habis-habis nak perli aku, aku tahulah pahala aku, sakitkan hati orang bulan puasa kan tak elok,” balas Osman dengan nada agak keras sedikit sambil menukar-nukar channel tv.
Aku masih terpaku ditengah-tengah ruang tamu, seribu satu soalan timbul di kepalaku, aku teringt waktu aku di Malaysia dua minggu yang lepas, jawapan Osman yang tak jauh beza dengan jawapanku sewaku Allahyarham adikku mengajakku untuk berterawih. Astaghfirullah, aku cepat-cepat mengambil air sembahyang dan terus keluar bersama-sama Azli menuju ke masjid. Aku masih teringatkan kata-kata ayahku sewatu di Airport, ayahku sangat menekankan tetang solat berjemaah.
“Li, aku tak pahamlah semua ni, betul ke apa yang Osman cakapkan tadi,” soalku yang masih bingung dengan keadaan.
“Amin, Allah jadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ni, banyak kelebihan yang diberikan kepada kita berbanding dengan makhluknya yang lain,” jelas penuntut tahun empat Abunnur. “Jadi di antara kelebihannya ialah seperti kita malam ini, bulan yang penuh dengan rahmat, beruntung bagi sesiapa yang pulun, belum tentu kita akan sempat Ramadhan tahun hadapan,” sambung Azli, memberikan keyakinan kepadaku.
“Aku rasa rugi sangat li, kalau dari dulu lagi aku datang ke tanah anbiyak ini, tentu macam-macam ilmu lagi aku dapat dari kau, beruntung kau li,” aku terhenti seketika, air mataku mengalir membasahi pipi, semakin aku tahan, semakin laju ia mengalir.
Setiap malam aku lihat, Azli bersama dengan tikar sembahyangnya. Azli rajin bertahajjud, kalau nak dibandingkan dengan aku, jauh sekali. Kadang-kadang aku lihat Azli sampai tertidor di atas tikar sembahyang.
“Amin, kau lihat malam ni, bumi ini akan cerah sehingga habis bulan Ramadhan.
“Yeke, apa maksud kau?”
“Kau ingat tak dah berapa hari kita berpuasa,” aku mengangkat bahuku, ternyata aku masih tidak paham.
“Malam ni malam sepuluh akhir Ramadhan, manusia aku berjaga malam beribadah kepada Allah, dalam malam sepuluh akhir Ramdhan ni Allah taala sembunyikan satu malam, iaitu lailatulqadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan,” jelasnya. Aku hanya mengangguk mengakui kata-katanya.
Selepas daripada aku mendengar nasihat daripada Azli, aku sering bertahajjud, malam sepuluh akhir Ramadhan semua aku hidupkan, aku tak mahu menjadi orang yang menyesal dan rugi di akhirat kelak, walaupun tidak wajib, tapi aku akan mewajibkan pada diriku. Biarlah aku letih beribadah kepada Allah, bukan letih hanya menitiskan air mata tanpa berazam untuk melakukan. Aku teringat satu kata mutiara daripada seorang ulama yang pernah Azli ungkapkan padaku Kamu tidak akan dapat mencapai sesuatu yang kamu mahukan, kecuali dengan meninggalkan apa yang kamu inginkan.
Aku tidak akan menghampakan orang tua ku lagi, bulan yang penuh dengan kelebihan ini akan aku gunakan dengan sebaiknya, aku akan terus berdoa semoga Allah tabahkan hatiku, supaya aku dapat realisasikan harapan ayah bondaku sejak dulu lagi, untuk aku menjadi seorang ulama yang berkaliber, dan aku harap supaya tidak lagi tersasar.
************
Tiba-tiba rinduku pada Azli terasa, sudah terlalu lama rasanya tidak kudengar khabarnya. Sudah dua tahun dia ke Jordan untuk menyambung pengajiannya dalam peringkat Phd. Kubuka album-album lama, sedikit sebanyak rinduku padanya terubat.
“Ayah, kawan ayah yang ini hendsomelah,” si sulungku memberi pujian pada Azli. Rupa-rupanya lama juga aku termenung sehingga disedarkan oleh anakku. Kubelai rambut anakku, berdoa semoga hatinya seikhlas Azli
“Ayah, ada orang datang,” si bongsuku tiba-tiba tersembul di pintu dengan membawa bantal busuknya. Kusuruh Mira membuka pintu sementara aku mengemas kembali album kenangan masa laluku.
“Ayah, er..er…, ada lelaki,” Mira tergagap berlari memberitahuku. Wajahnya seperti kehairanan yang amat sangat, aku dapat menangkap ada yang tak kena pada anakku.
Aku meluru ke ruang tamu, kenapa Mira jadi seperti itu? Kulangkah perlahan, melihat seorang lelaki mengenakan ketayap putih, dia membelakangi aku, aku rasa seakan-akan kenal tuan tubuh tersebut…, aku maju lagi. Ya Allah, aku kenal lelaki itu. Azli tersenyum melihatku, kami saling berpelukkan. “Patutlah Mira seperti kehairanan, rupa-rupanya lelaki yang dipuji tadi sekarang berada dihadapannya,” fikirku di dalam hati.
“Anak kau Amin?”, tanya Azli sambil mengusap rambut anak bongsuku. Aku hanya melemparkan senyuman kepadanya.
“Aku seronok dapat jumpa kau hari ini, tapi tak apalah Amin, aku sabenarnya kena menghadiri seminar di hotel Continental, seminar ulama pembimbing ummah,”.
“Apa-apa pun, aku ucap terima kasih banyak-banyak pada kau li”. Aku bersyukur sangat pada Allah, kerana mengurniakan aku sahabat yang baik.
- Kiriman:
